Assalamualaikum semua. Sudah lama saya tidak menulis catatan di laman ini. Jadi, kali ini saya ingin berkongsi ilmu tentang solat sunat Dhuha. Solat Sunat Dhuha dikerjakan pada waktu pagi. Ia merupakan salah satu daripada tiga solat sunat yang tidak pernah Rasulullah S.A.W tinggalkan. Banyak fadhilat dan kelebihan yang dapat kita peroleh dengan mengerjakan solat sunat ini.
Berkata Abu Ath-Tha'fi RA bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda: "Allah telah berfirman: Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku pada awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu pada akhirnya". Riwayat Ahmad.
Hadis Qudsi di atas menerangkan bahawa dengan mengerjakan Solat Sunat Dhuha maka kita diberi jaminan untuk melaksanakan keperluan keduniaan manusia setiap hari. Hal ini menunjukkan bahawa setiap perkara yang kita lakukan pada hari tersebut dipermudahkan oleh Allah. Hal ini juga disokong dengan hadis dalam kitab An-Nurain. Hadis tersebut bermaksud: "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kemiskinan".
Dengan mengerjakan Solat Sunat Dhuha juga, kita tidak tergolong dalam orang yang lalai daripada mengingati Allah. Begitu juga bersama orang yang suka melakukan ketaatan. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
" Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yangmenunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyaipemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepadaseseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).
Dalam hadis yang lain:
Daripada Anas bin Malik RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah berkata: " Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha 12 rakaat maka dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas". Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi.
Selain itu, Allah telah menjanjikan nikmat buat hambanya yang melakukan ibadah sunat ini iqitu pengampunan segala dosanya. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan". Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi.
Dalam meneliti hadis-hadis ini, maka tidak hairanlah bahawa Dhuha membawa banyak manfaat kita di dunia dan di Akhirat. In Sha Allah.
Semoga dapat beramal. Assalamualaikum. Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment